Thursday, December 30, 2010

Menangkis Serangan Musuh Politik

sumber-sarawak update

Dr. Jeniri Amir

KUCHING – If you know the enemy and know yourself, you need not fear the result of a hundred battles. If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat. If you know neither the enemy nor yourself, you will succumb in every battle. – Sun Tzu

Adakah Barisan Nasional (BN) mengetahui kelemahan dan kekuatannya? Adakah BN mengetahui kekuatan dan kelemahan Pakatan Rakyat? Yang lebih penting, adakah BN tahu akan strategi musuhnya? Dan, bagaimana dengan strateginya sendiri? Adakah cukup ampuh untuk menangkis serangan musuh politiknya?

Adakah BN akan bertahan ketika Pakatan Rakyat menyerangnya menjelang pilihan raya negeri akan datang? Begitu hebatkah peluru yang bakal digunakan PR untuk menyerang BN? Tidak mungkinkah BN menyerang PKdengan strategi kempen yang ampuh? Bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya, segala pemikir dan think-tank BN perlu belajar daripada strategi perang Sun Tzu.

Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dipetik sebagai berkata bahawa jentera BN perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi kempen parti pembangkang dan berani menangkis dakyah mereka dalam pilihan raya akan datang. Beliau, yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata jentera BN tidak boleh bersikap sambil lewa sebaliknya bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

“Jentera parti harus mendekati masyarakat dengan menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat tentang isu agar dapat dijawab dan diperjelaskan…Barulah kita dapat memenangi hati rakyat,” katanya pada majlis perjumpaan dengan jentera PBB kawasan dewan undangan negeri Tanjong Datu 12 Disember lalu.

Hakikatnya, pilihan raya ke-10, dijangka April depan, tidak lagi sama seperti pilihan raya-pilihan raya lalu, setidak-tidaknya dari segi tahap kesedaran pengundi dan rakyat tentang apa-apa yang berlaku dan berkembang dalam masyarakat. Mereka tahu apa yang dilakukan dan tidak dilakukan oleh pemimpin negeri. Mereka tahu banyak perkara tentang siapa yang mendapat apa dan bagaimana mereka mendapatkannya.

Jadi jangan perlekeh keupayaan dan pengetahuan pengundi dan rakyat. Jangan minta mereka bersyukur dengan ‘pembangunan’yang dibawa oleh kerajaan BN. Juga, jangan beritahu mereka bahawa hanya BN sahaja yang dapat memerintah, manakala pembangkang tidak akan dapat berbuat apa-apa dan hanya akan memecahkan perpaduan dan sebagainya. Hujah sedemikian bagi kebanyakan rakyat ialah hujah basi dan tidak lagi relevan. Bagi mereka hujah demikian mungkin sesuai digunakan untuk membujuk nenek berusia 80 tahun di kampung di pedalaman. Malangnya, sebahagian pemimpin politik masih lagi berfikir dengan menggunakan kerangka pemikiran lama, dan mengharapkan rakyat hanya menelan bulat-bulat apa-apa yang dinyatakan. Tentu sesuatu yang malang jika mereka berpendapat rakyat ialah robot yang tidak mempunyai otak.

BN perlu turun ke gelanggang dengan persiapan rapi dan lengkap. Gunakan strategi dan pendekatan lebih segar dan efektif. Saya masih percaya bahawa pendekatan terbaik adalah untuk menyelami hati rakyat dan berbaik-baik dengan mereka. Mereka tidak seharusnya diserang, dikritik dan disumpah seranah. Apalagi mengecap mereka sebagai tidak mengenang budi, pengkhianat, dan tidak pandai bersyukur. Jangan fikir hanya pemimpin politik sahaja yang mementingkan masa depan negeri ini.

Hakikatnya, rakyat juga mahu melihat negeri ini terus maju. Rakyat mahu sebuah kerajaan yang komited mentadbir dan mengurus negeri ini dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan — bersih daripada segala penyelewengan dan salah guna kuasa. Rakyat wajar menegur, malah jika perlu mengkritik pemimpin politik yang melupai prinsip-prinsip kepemimpinan dan demokrasi tulen. Sebab, yang menjulang mereka ke puncak kuasa ialah rakyat.

Sejauh manakah kepemimpinan sekarang mengamalkan tadbir urus yang baik? Sejauh manakah pemimpin politik kita bersih daripada segala amalan rasuah dan salah guna kuasa? Untuk menjawabnya, tanya sahaja bagaimana persepsi rakyat terhadap mereka. Jangan katakan itu hanya persepsi, kerana hakikatnya, persepsi begitu penting dalam politik. Kadangkala persepsi lebih benar daripada realiti. Bagaimana pendapat umum tentang pemimpin dan parti yang bertandinglah yang menentukan sama ada calon atau parti berkenaan menang atau kalah dalam pilihan raya.

Kini, bukan sahaja golongan muda di bandar sudah mempunyai akses kepada maklumat yang dahulunya mungkin tersimpan kukuh di dalam fail di pejabat kerajaan. Golongan tua pun sudah tahu apa yang berlaku di negeri ini. Banyak maklumat begitu mudah tersebar. Jika tidak percaya, telitikan pelbagai sumber maklumat, blog dan portal berita di alam maya, termasuk Radio Free Sarawak dan Sarawak Report? Itu merupakan suara akar umbi yang perlu difahami betul-betul oleh pemimpin elit BN. Mereka tidak boleh lari daripada realiti. Bagaimanakah pemimpin BN dapat menangkis, dengan hujah yang meyakinkan dan masuk akal segala dakwaan dalam Sarawak Report dan radio alternatif berkenaan? Memadaikah dengan sekadar mengatakan bahawa semua itu adalah fitnah dan tuduhan tanpa asas?

Dalam keadaan sekarang, berdasarkan kajian di alam maya dan kempen yang digunakan dalam pilihan raya sebelum ini, ternyata bahawa pihak pembangkang memiliki kelebihan dari segi strategi, pendekatan dan teknik kempen. Kempen mereka adalah berteraskan penyelidikan dengan menggunakan teknik yang lebih berkesan. Jika tidak percaya, imbas balik sahaja apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil di Sibu tempoh hari. Sejauh manakah BN memanfaatkan teknologi maklumat untuk menyebarkan dan menangkis hujah dan wacana lawan dengan hujah dan wacana tandingan yang lebih meyakinkan? Adakah portal PBB, SUPP, PRS, SPDP sentiasa dikemas kini? Bandingkannya dengan portal DAP. Dari situ kita akan tahu siapa yang lebih hebat. Adakah BN menggunakan FaceBook, YouTube atau portal berita dan blog yang memihak kepadanya dengan sebaik mungkin untuk menangkis hujah lawan?

Perang politik dalam pilihan raya akan datang bukan hanya berlaku di pentas politik dan di ruai rumah panjang, tetapi juga di alam maya. Perang di alam maya ialah perang menguasai, menakluki dan menunduk minda pengundi. Siapa yang berjaya menakluki minda pengundi, pihak itulah yang akan memenangi pilihan raya kerana asasnya pilihan raya ialah membuat keputusan berdasarkan keyakinan dan kepercayaan terhadap pihak yang bertanding. Jika calon atau parti yang bertanding tidak diyakini atau dipersepsi mengutamakan diri dan keluarga, ini tentu memberi kesan kepada corak pengundian.

Persoalannya, mampukah BN menangkis serangan musuh politiknya? Jawapannnya tentu lebih jelas menjelang pilihan raya April nanti.

Penulis ialah penganalisis politik dan penulis prolifik.

No comments: